Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Hernie Suliana Haji Othman
GADONG, Isnin, 9 Februari. - Jepun kekal komited untuk menyokong kerjasama dalam pelbagai bidang dalam kedua-dua sektor baharu dan tradisional, termasuk industri hiliran, pertanian, perhutanan, perikanan, ICT dan perkhidmatan untuk pembangunan berterusan Negara Brunei Darussalam (NBD).
Pada ketika ini, sebanyak 21 buah syarikat Jepun beroperasi di NBD sebagai rakan kerjasama, menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan menghasilkan metanol daripada gas asli NBD dan mengaplikasikan bioteknologi kepada sektor makanan dan kesihatan hanyalah beberapa contoh usaha sedemikian.
Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka menyentuh perkara itu dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Resepsi meraikan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Maharaja Jepun Ke-66 berlangsung di Rizqun International Hotel, Gadong, malam tadi.
Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka seterusnya menyatakan bahawa pertukaran rakyat dengan rakyat (people-to-people exchanges) seperti program pertukaran belia dan pertukaran akademik antara universiti, merupakan asas kepada pengukuhan dan peluasan persahabatan dua buah negara.
“Kerjasama akademik antara universiti di Jepun seperti Kagawa University dan Osaka University dan universiti-universiti di Brunei terus berkembang. Baru-baru ini, terdapat peningkatan dalam lawatan pendidikan, di mana pelajar sekolah menegah rendah dan menengah atas Jepun telah berkunjung ke NBD.
“Saya percaya hal ini demikian kerana NBD mempunyai kelebihan seperti budaya Islam yang kaya, alam semula jadi yang luas, penggunaan Bahasa Inggeris, layanan baik dan yang paling utama ialah keamanan serta keselamatan," jelas Tuan Yang Terutama.
Selain itu, pada Oktober lalu, Royal Brunei Airlines telah menyambung semula penerbangan perkongsian kod (codeshares) dengan Japan Airlines sekali gus menjadikan perjalanan antara kedua-dua negara lebih mudah diakses.
“Hasilnya, kami menjangkakan bilangan pelancong Jepun yang melancong ke negara ini meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun lalu dan ini seterusnya menekankan hubungan yang semakin berkembang antara negara kita. Memandang ke hadapan, kami komited untuk terus mempromosikan pertukaran orang ke orang, yang penting untuk membina hubungan yang lebih kukuh dan mendalam antara Jepun dan NBD," ujar TYT.
Hadir mewakili Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir, duta-duta besar, pegawai-pegawai kerajaan, ahli-ahli dalam bidang perniagaan, akademik dan kebudayaan.